MY LIFE ! !

Followers

Visited


Thursday, April 28, 2011

Tips mudah mengingat ketika belajar (Radhi Rosli )

Assalamualaikum. Entry saya untuk kali ini ialah perkongsian tips-tips belajar kepada adik-adik yang masih belajar terutamanya kepada adik-adik yang belajar di luar negara.

Melanjutkan pelajaran di luar neg...ara memanglah menjadi idaman setiap pelajar, tak kiralah pelajar-pelajar sekolah menengah mahupun dikalangan adik-adik yang masih di bangku sekolah rendah. Berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara tidaklah bermaksud susah payah kita telah terbayar, malah sebenarnya ini bermaksud ada susah payah yang lebih besar bakal menanti kita dihadapan. Tidaklah saya bermaksud belajar didalam negara tidak susah, tapi dugaan dan cabaran belajar di luar negara ini perlukan kepada lebih kesungguhan dan konsistensi yang berpanjangan untuk berjaya.

Ingin saya kongsikan disini semoga menjadi panduan kepada adik-adik yang masih belajar di luar negara, ialah beberapa tips untuk mudah mengingat apa yang kita belajar. Seringkali kita bertanya kepada diri, “Kenapa apa yang aku baca ni susah nak ingat?” “Kenapa apa yang dulu dah baca, tapi bila dah dekat-dekat nak exam ni dah lupa dah?” “Urghhh, semalam dah baca, hari ni dah lupa dah!”, dan banyak lagi soalan-soalan yang timbul yang membuatkan kita “frust”.

Saya sangat memahami, belajar di luar negara ini memang susah. Lecture dalam bahasa asing, buku-buku rujukan yang ada pun dalam bahasa asing, tutorial dalam bahasa asing, soalan pepriksaan dalam bahasa asing, juga rakan-rakan sekelas adalah rakyat-rakyat asing. Tidaklah saya nafikan ada dikalangan kita yang mahir dan fasih berbahasa asing: Bahasa Inggeris, namun saya yakin majoriti daripada kita hanya pada tahap “cukup makan” sekadar melepasi par sahaja. Oleh itu, perlulah ada pendekatan ataupun tips yang boleh kita applikasi dalam teknik pembelajaran kita untuk mencapai kejayaan yang kita idam-idamkan.

Antara tips-tips yang boleh digunapakai ialah:




Mula untuk belajar awal.

Kebanyakkan daripada kita hanya tunggu apabila dekat dengan exam barulah kita nak mula belajar atau ulangkaji. Kenapa tidak mahu mula awal-awal lagi, seawal bermulanya semester? Saya yakin banyak yang perlu dibaca dan diulangkaji, oleh itu masa yang diperlukan untuk menghadam dan mengingati satu-persatu isi-isi penting juga panjang dan lama. Masa yang singkat beberapa minggu sebelum exam bukanlah masa yang ideal untuk mengingat ilmu-ilmu baru, pada tahapan stress yang kemuncak ditambah lagi beberapa assignments yang akan due, tidak mustahil tetapi adalah sangat susah untuk mengingat ilmu-ilmu baru pada masa ini. Masa ini adalah masa yang sebenarnya sesuai untuk mengulangkaji ilmu-ilmu yang sememangnya anda sudah hafal atau tahu.

Mulalah belajar daripada sekarang. Jangan ditunggu sehingga last minute, baru kita nak mula belajar. Biarpun sedikit demi sedikit atau semuka-surat kita belajar setiap hari daripada sekarang, nanti lama-lama jadi bukit, daripada kita memerah otak kita untuk mengingat sebuah buku seminggu sebelum tarikhexam.




Mengulangkaji sedikit-sedikit.

Daya mengingat manusia adalah terhad. Otak manusia tidak mampu untuk memproses dan mengingat banyak maklumat yang datang kepadanya dengan sekaligus pada satu masa. Ia perlukan masa untuk memproses dan juga untuk mengingat.

Cubalah untuk fokus kepada beberapa topik-topik kecil ketika mengulangkaji. Buatlah satu jadual belajar. Cubalah untuk habiskan ulangkaji hanya pada beberapa topik kecil setiap hari. Contohnya: Isnin – Pneumonia, Selasa – COPD, Rabu – Asthma, Khamis – Pulmonary Embolism, Jumaat – Pneumothorax dan sebagainya, daripada terus untuk cuba menghabiskan satu bab Diseases of the Respiratory System sekaligus dalam masa sehari kemudian bertukar kepadasystem yang lain hari berikutnya. Dengan cara begini lebih mudah untuk kita memahami dan menghafal isi-isi penting berkaitan setiap topik-topik yang dibaca.




Cuba untuk faham, bukan hanya sekadar hafal.

Kajian telah menunjukkan bahawa apabila kita faham sesuatu perkara atau mekanisma, ianya akan lebih lama kita ingati daripada hanya menghafalnya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya kita membaca bagaimana sistemcardiovascular berfungsi, bermula daripada jantung melalui saluran darah i.e. aorta –> arteries –> arterioles –> capillaries –> veins –> vena cava, kemudian kembali ke jantung, lebih mudah untuk kita lukiskan diatas kertas gambar jantung dan saluran-saluran darah tersebut, kemudian kita cuba fahami dengan membayangkan seolah-olah kita adalah sel-sel darah yang melalui saluran-saluran darah tersebut. Dengan ini lebih membuatkan kita faham bagaimana sistem itu berfungsi dan insyAllah ianya akan lebih lama “melekat” dalam memori kita.




Belajar menggunakan pelbagai deria.

Apabila anda membaca, kebiasaannya anda hanya membaca (menggunakan deria penglihatan sahaja). Ada satu kajian yang saya baca, yang mengatakan bahawa memori kita akan lebih terangsang untuk mengingati sesuatu ilmu tatkala deria-deria kita terangsang. Lebih banyak yang terangsang, katanya, lebih baik. Sebagai contoh, membaca (melihat) sambil menulis nota (rasa dengan jari), lebih baik daripada hanya membaca. Ataupun, membaca sambil membuat nota, dan sambil mendengar musik, mengikut kepada artikel yang dibaca tersebut, adalah lebih baik. Tetapi janganlah kita mendengar kepada musik-musik yang bersuara atau berlirik, ianya akan mengganggu fokus kita, tetapi dengarlah kepada musik-musik instrumental atau bacaan ayat-ayat al Quran yang menenangkan hati dan fikiran kita, dan tidak menghilangkan fokus kita kepada apa yang sedang kita belajar. Saya yakin, teknik ini mungkin tidak berkesan kepada semua, tapi insyaAllah kepada sesiapa yang masih tercari-cari cara untuk mudah mengingat, bolehlah mencuba teknik ini sama ada sesuai dengan anda ataupun tidak.


Credit to : Radhi Rosli


No comments:

NUFFNANG